Tuesday 12 November 2013

ICJ Putuskan Preah Vihear Di Bawah Kedaulatan Cambodia



BANGKOK 11 Nov. - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini memutuskan kawasan sempadan melibatkan sebuah kuil purba, Preah Vihear antara Kemboja dan Thailand, berada di bawah kedaulatan Phnom Penh.

Mahkamah dunia itu turut mengarahkan semua pasukan keselamatan Thailand meninggalkan kawasan berkenaan.

Hakim Peter Tomka berkata, ICJ mengekalkan keputusan mahkamah pada 1962 bahawa kawasan tanjung Preah Vihear berada di bawah kedaulatan Kemboja.

"Justeru, polis atau tentera atau pasukan keselamatan Thailand perlu berundur dari kawasan tersebut,'' katanya.

Sekurang-kurangnya 28 orang maut dan berpuluh-puluh ribu orang kehilangan tempat tinggal dalam pertempuran sejak 2011 berhubung pemilikan kawasan berdekatan kuil berusia 900 tahun itu.

Menteri Luar Kemboja, Hor Namhong berkata, pihaknya lega dengan keputusan tersebut.

ICJ pada tahun lepas mengarahkan kedua-dua negara mengundurkan pasukan keselamatan masing-masing di kawasan tersebut yang lebih mudah dimasuki melalui Thailand.

Kemboja dan Thailand akhirnya mengundurkan tentera mereka dari kawasan itu pada Julai 2012 dan menempatkan pasukan polis serta pengawal sempadan.

Sebelum keputusan ICJ itu, timbul kebimbangan bahawa ia akan mengeruhkan lagi keadaan dan menyebabkan semula pertempuran. - AFP

No comments: