Tuesday 19 November 2013

Kes Pengintipan : Indonesia Panggil Pulang Dutanya Di Australia


JAKARTA: Indonesia bersikap tegas berhubung insiden intip dengar perbualan telefon Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Wanita Pertama Indonesia Ibu Ani Yudhoyono serta beberapa anggota kabinet oleh pihak Australia, dengan memanggil pulang Duta Besarnya ke Australia di Canberra, Nadjib Riphat.

Serentak dengan itu Indonesia juga akan mengkaji semula hubungan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan Australia.

Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa berkata pemanggilan pulang Duta Besarnya itu adalah untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku di Australia.

Keputusan itu dibuat kerana Indonesia berpendapat Duta Besarnya tidak akan dapat melakukan tugas dengan baik di tengah isu intip dengar yang sedang hangat diberitakan sekarang, katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

"Saya berpesan agar Duta Besar tidak hanya membawa beg kabin. Kami menunggu jawapan dari pemerintah Australia dan akan melakukan langkah satu per satu secara terukur," kata Marty.

Menteri Luar Indonesia itu berharap kerajaan Australia tidak meremeh dan mengecilkan isu itu kerana ia amat mengganggu keselesaan Indonesia.

Laporan media menyebut bahawa agensi perisikan Australia telah cuba mengintip dengar perbualan telefon Yudhoyono dan isterinya serta beberapa menteri kanan Indonesia pada tahun 2009.

Dokumen rahsia yang dibocorkan oleh Edward Snowden dan diterima media penyiaran Australia Broadcasting Corporation (ABC) dan akhbar harian The Guardian menyebut bahawa Presiden Indonesia dan sembilan orang terdekatnya sebagai sasaran intip dengar itu.

Marty berkata Indonesia berada pada kedudukan tidak melanggar peraturan hubungan antarabangsa dan berada dalam tatalaku yang baik dari segi undang-undang dan beradab dalam hubungan dua hala.

Katanya Kementerian Luar Negeri telah memanggil Kuasa Usaha Australia di Jakarta untuk mendengarkan pendirian Indonesia itu dan sedang dalam proses menghubungi Menteri Luar Australia Julie Bishop.

Mengenai kajian semula terhadap hubungan kerjasama Indonesia-Australia, Marty berkata ia termasuk langkah memastikan pelaksanaan prinsip timbal balik dalam kerjasama maklumat iaitu mengkaji semula jumlah pegawai Indonesia di Canberra dan pegawai Australia di Jakarta yang bertugas menangani masalah maklumat.

Langkah itu adalah bagi memastikan prinsip timbal balik itu dihormati dan dilaksanakan oleh kedua-dua negara, katanya.

"Ini bukan hari yang baik bagi hubungan Indonesia-Australia kerana isu intip dengar sangat membawa kesan dalam hubungan kedua-dua negara. Namun, Indonesia adalah negara yang sanggup untuk berfikir secara rasional, untuk melakukan tindakan tegas namun terukur," kata Marty.

Sementara itu Menteri Penyelaras Bidang Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia Djoko Suyanto yang bercakap kepada media Indonesia, mendesak kerajaan Australia segera memberi penjelasan rasmi dan kepada masyarakat awam berhubung isu itu, selain mendesak negara itu agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan. - ASTRO AWANI