Wednesday 13 November 2013

DYTM Pengiran Muda Mahkota Brunei Lawat Bank Negara Malaysia


KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Selasa, 12 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat ke Bank Negara Malaysia, petang tadi, di sini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia telah dijunjung oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Muhammad bin Ibrahim.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan menyertai sesi bergambar ramai dan diikuti dengan menandatangani Buku Lawatan sebelum berangkat mengadakan lawatan ke Muzium dan Galeri Lukisan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.

Di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Tingkat 5, DYTM berkenan mendengar sembah taklimat mengenai ‘Kewangan Islam’.

DYTM juga mendengar sembah taklimat mengenai ‘Greater KL Valley Initiatives’ oleh PEMANDU yang disembahkan oleh Pengarah Greater KL Valley Initiatives, Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Suhaili bin Idrus.
Taklimat mengenai Kampong Bharu Regeneration Initiatives  Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah disembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Haji Naharuddin bin Abdullah.

Turut hadir semasa Sembah Taklimat Kampong Bharu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Dato Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Mengiringi keberangkatan DYTM ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Abd. Aziz Kaprawi.

Juga mengiringi keberangkatan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Kewangan II (Kedua) di JPM, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; dan Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong. - Pelita Brunei

No comments: