Thursday 23 January 2014

Sejuk luar biasa, Malaysia dilanda musim dingin ?

Orang ramai yang baru-baru ini dipanikkan dengan berita fenomena zaman ais mini yang dikhabarkan akan berlaku kerana matahari berada dalam kitaran pengurangan tenaga dalam 40 tahun lagi, mula menggembar-gemburkan kesejukan luar biasa yang dialami di waktu pagi di merata tempat di Malaysia.

Sensasi angin dingin yang menerpa Malaysia terutama pada sebelah awal pagi hingga hampir tengahari pada masa ini adalah fenomena biasa yang disebabkan tempias musim dingin di hemisfera utara yang dibawa oleh tiupan monsun timur laut.

Fenomena seperti ini juga pernah berlaku di negara ini pada masa-masa yang lalu. Suhu terendah Kuala Lumpur pernah dicatatkan pada 18 °C di tahun 1930an berikutan fenomena ini.

Stesen-stesen meteorologi Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) hari ini mencatatkan suhu terendah di stesen meteorologi Cameron Highlands, 12 °C diikuti Kuala Krai, Kelantan, 17.5 °C dan Lubok Merbau, Perak, 18.5 °C.  

Untuk rekod, Cameron Highlands mencatat suhu terendah pada 1 Februari 1978 iaitu pada 7.8 °C manakala purata suhu terendah di Malaysia ialah 22 °C yang biasanya dicerap pada jam 3:00 pagi.

Walaubagaimanapun belum diketahui sama ada suhu akan jatuh lebih lagi andai ia dipengaruhi kelanjutan kemuncak musim dingin kebelakangan ini.



No comments: